Pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi setiap projek pembangunan untuk kegunaan awam adalah satu langkah baik sekali gus mampu mengurangkan kos dalam kerja-kerja penyediaan perkhidmatan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pengecualian itu juga mampu mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat serta menyediakan mutu perkhidmatan berkualiti tinggi.

"Ini merupakan langkah baik dan bukan hanya mengurangkan kos dari segi program ataupun perkhidmatan malah mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat mahupun PBT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Orang Asal Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2018, di Dewan Masyarakat Pekan Kiulu, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat berkata, semua kerajaan negeri dan PBT dikecualikan cukai jualan dan perkhidmatan SST untuk setiap projek pembangunan bagi kegunaan awam.

Jelas Lim, langkah itu mampu menjimatkan kos besar buat kerajaan negeri dan PBT, berbanding ketika pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) di mana mereka perlu membayar cukai enam peratus untuk sebarang projek pembangunan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga menegaskan kerajaan negeri akan terus komited dalam menjaga dan memartabatkan hak orang asal di negeri ini.

Katanya, kepelbagaian budaya masyarakat orang asal di negeri ini merupakan satu warisan budaya yang tidak ternilai harganya dan ia perlu terus dipelihara kerana kekayaan kebudayaan masyarakat di Sabah juga merupakan salah satu tarikan utama dalam sektor pelancongan.

"Kita menghormati hak-hak orang asal dan kita mengenali apa sebenarnya yang tersirat berhubung perkara ini serta perlu laksanakannya sebaik mungkin.

"Memartabatkan hak orang asal ini juga merupakan satu langkah yang baik bagi kita dalam membentuk sebuah negara yang bukan hanya menjadikan hak orang asal sebagai keutamaan malah menunaikan apa keperluan mereka," katanya.