Pengeluar kereta Volkswagen Jerman akan menghentikan pengeluaran global kenderaan ikonik Beetle selepas hampir tujuh dekad jualan di Amerika Syarikat (AS).

Kumpulan Volkswagen Amerika dalam satu kenyataan memberitahu, pengeluaran global kereta ‘Bug’ akan berakhir pada Julai tahun depan dan mengumumkan dua model edisi akhir.

“Kehilangan Beetle selepas tiga generasi atau lebih tepat hampir tujuh dekad akan membangkitkan pelbagai emosi kepada peminat setianya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif unit itu, Hinrich Woebcken.

Setakat ini, Volkswagen belum mempunyai rancangan untuk menggantikannya.

Beetle diperkenalkan Nazi Jerman pada tahun 1938 selepas Adolf Hitler meminta jurutera automatifnya, Ferdinand Porsche menghasilkan kereta rakyat. - Al Jazeera