Berita  | Dunia

Pengerusi kumpulan LG meninggal dunia di usia 73 tahun

Pengerusi kumpulan LG meninggal dunia di usia 73 tahun
Mendiang Koo merupakan individu penting yang membawa syarikat konglomerat keempat terbesar di Korea Selatan itu ke pasaran global.
SEOUL: Pengerusi kumpulan LG, Koo Bon-moo meninggal dunia di usia 73 tahun pada Ahad selepas bertarung dengan komplikasi otak selama setahun lalu.

Berita kematian itu disahkan oleh kumpulan LG menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada hari sama.

Mendiang Bon-moo merupakan individu penting yang membawa syarikat konglomerat keempat terbesar di Korea Selatan itu ke pasaran global.

Beliau menjadi Pengerusi Kumpulan LG ketiga di usia 50 tahun pada 1995 dan memperkenalkan tiga teras utama perniagaan yang berlandaskan elektronik, kimia dan telekomunikasi.
Selain itu, di bawah kepimpinannya jenama LG menjadi antara penyumbang utama kepada pembangunan industri yang rancak di Korea Selatan dan turut membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Pengganti bagi kedudukan Pengerusi Kumpulan LG bakal disandang oleh anaknya Koo Kwang-moo yang merupakan generasi keempat keluarga berkenaan.

Koo Kwang-moo yang kini merupakan Ketua Unit Paparan Maklumat LG Electronics memiliki enam peratus kepentingan LG Corp.

Beliau menyertai bahagian kewangan LG Electronics pada 2006 dan terlibat dalam beberapa rangkaian perniagaan antaranya peralatan dan barangan keperluan rumah serta terlibat dalam pembentukan strategi perniagaan kumpulan.

Koo Kwang-moo merupakan anak angkat kepada Koo Bon-moo yang diambil daripada adiknya Koo Bon-neung pada 2004 selepas satu-satunya anaknya meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Menurut penganalisis Reuters, perubahan itu dijangka tidak akan mengganggu peniagaan kumpulan LG.

Upacara pengebumian mendiang Koo akan diadakan secara tertutup hanya untuk ahli keluarga terdekat dan sahabat handai.