Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi penghargaan kepada penggerak Revolusi Filipina, Jose Rizal dengan meletakkan kalungan bunga di tugu pejuang kemerdekaan tersebut seiring lawatan rasmi tiga hari beliau ke republik itu.

Datuk Bandar Manila yang juga bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada dan Pemangku Panglima Tentera Laut Filipina, Laksamana Rommel Jude Ong menyambut ketibaan Dr Mahathir.

Upacara bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara, ‘Negaraku’ dan ‘Lupang Hinirang’.

Dr Mahathir kemudian berjalan menuju ke persada tugu diiringi kibaran bendera kedua-dua buah negara yang menghiasi Rizal Park.

Sejurus selepas Dr Mahathir meletakkan kalungan bunga, beliau memberi penghormatan selama seminit diiringi tiupan nafiri ‘last pole’ diikuti lagu patriotik ‘Pilipinas Kong Mahal’ dan tiga das tembakan.

Selesai upacara itu, Dr Mahathir kemudian ke Istana Malacanang bagi sambutan rasmi oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.