TURKI mengesahkan seramai 2,756 penjawat awam dilucutkan dari jawatan selepas siasatan mendapati mereka terlibat secara langsung dalam usaha cubaan rampasan kuasa pada 2016.

Mereka terdiri daripada anggota tentera, guru dan kakitangan beberapa kementerian.

Mereka didapati bersalah kerana menganggotai kumpulan pengganas yang diketuai ulama terkemuka Fethullah Gulen yang telah dilucutkan kerakyatannya.

Kerajaan menamakan Fethullah sebagai dalang cubaan rampasan kuasa terbabit.

Fethullah yang kini menetap di Pennsylvania, Amerika Syarikat sejak 1999 bagaiamanapun menafikan dakwaan itu.

Sejak tercetusnya cubaan rampasan kuasa yang gagal pada Julai 2016, dianggarkan seramai 50,000 orang telah ditahan manakala hampir 150,000 penjawat awam telah dilucutkan jawatan.

Badan hak asasi manusia menyelar tindakan yang dilaksanakan oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan terbabit dan menyifatkan ia sebagai usaha untuk menyekat perbezaan fahaman politik di negara itu.