SEORANG pensyarah Universiti Oxford ditahan pihak berkuasa di Paris awal minggu ini atas dakwaan merogol dua wanita, selain beberapa lagi tuduhan melakukan gangguan seksual ke atas beberapa lagi wanita lain.

Tariq Ramadan, 55 tahun, kini direman untuk disoal siasat selepas dua wanita itu membuat dakwaan berkenaan pada Oktober lalu.

Mangsa pertama, Hendra Ayari, seorang ketua kumpulan feminis sekular, mendakwa dirogol Tariq pada tahun 2012 di sebuah hotel di Paris, menerusi satu pendedahan dalam sebuah buku.

Beberapa hari kemudian, mangsa kedua, seorang mualaf yang identitinya dirahsiakan, mendakwa dirogol Tariq pada 2009.

Empat lagi wanita warganegara Switzerland membuat dakwaan Tariq melakukan gangguan seksual semasa mereka masih belajar di Geneva.

Kesemua tuduhan itu dinafikan Tariq yang mendakwa ia hanya agenda musuh untuk menjatuhkannya.

Tariq, yang berkhidmat di Oxford sejak 2009 dan mengajar subjek Pengajian Kontemporari Islam, telah mengambil cuti sejak dakwaan itu dibuat.

Tariq, yang memegang kewarganegaraan Switzerland, merupakan cucu kepada Hassan al-Banna, seorang sarjana Islam dari Mesir yang merupakan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin pada era 1920an.