PERCAYA atau tidak, ini yang sedang dilakukan para penternak di China iaitu “menggemukkan” babi peliharaan mereka sehingga mencecah saiz seekor beruang kutub bagi meraih keuntungan dan mengatasi masalah kekurangan bekalan daging kegemaran rakyat republik itu.

Ia susulan peningkatan harga dan permintaan daging babi berikutan penularan wabak demam babi Afrika yang dikesan di negara itu tahun lalu, yang merupakan negara pengeluar daging babi terbesar di dunia.

Memetik laporan Bloomberg, para penternak bertindak membiakkan kumpulan haiwan tersebut sehingga mencecah 500 kilogram berbanding saiz asal sekitar 125 kilogram (kg).

Salah satu lokasi penternakan babi gergasi tersebut terletak di Nanning, ibu kota wilayah Guangxi.

Dilaporkan, proses itu telah memberi keuntungan sehingga tiga kali ganda daripada purata pendapatan bulanan selepas haiwan itu disembelih dan dagingnya dijual.

Menurut salah seorang penternak haiwan itu, Zhao Hailin, dia mahu membesarkan ternakannya itu sehingga mencecah saiz "sebesar mungkin".

Malah, trend tersebut tidak terhad kepada peladang kecil sahaja, sebaliknya ia juga melibatkan syarikat-syarikat berskala besar di China.

Antaranya adalah Wens Foodstuffs Group Co; penternak babi terbesar di negara itu, Cofco Meat Holdings Ltd.; dan Beijing Dabeinong Technology Group Co.

Jelas penganalisis kanan firma Bric Agriculture Group, Lin Guafo, ladang-ladang besar memberi tumpuan kepada peningkatan saiz berat babi sekurang-kurangnya 14 peratus.

“Purata berat babi yang disembelih telah meningkat sebanyak 140kg berbanding saiz normal kira-kira 110kg.

“(Pembesaran saiz) membolehkan keuntungan meningkat lebih 30 peratus,” ujarnya.

Ternakan babi di China menyusut sebanyak 32.2% pada bulan Julai 2019 berbanding bulan sama tahun lalu.

BACA: Vietnam lupuskan 4.7 juta babi gara-gara wabak demam babi Afrika