TULAR rakaman video menunjukkan beberapa kru kabin sebuah syarikat penerbangan cuba menenangkan seorang penumpang yang dipercayai bertindak agresif dengan sengaja batuk dengan kuat di hadapan rakan sekerja mereka.

Ketegangan itu dipercayai berlaku apabila penumpang wanita terbabit berang kerana terpaksa menunggu selama beberapa jam untuk disaring oleh pasukan perubatan bagi memastikan mereka bebas daripada simptom COVID-19 apabila mendarat di Shanghai dari Bangkok.

Wanita tersebut didakwa melepaskan kemarahannya dengan menghampiri salah seorang kru kabin di dalam pesawat itu sebelum dengan sengaja batuk di hadapannya, pada Jumaat lepas.

Susulan daripada itu, anak kapal yang lain bertindak mendekati penumpang tersebut untuk menghentikan tingkah laku yang disifatkan 'tidak wajar' berkenaan.
Menerusi rakaman video yang tular, wanita itu terpaksa dipegang oleh sekurang-kurangnya kru kabin lelaki, manakala dua lagi mengarahkannya untuk bertenang dan duduk di tempat duduknya kembali.

Bagaimanapun, wanita tersebut kemudian menjerit dan mempersoalkan tindakan mereka.

"Apa yang saya buat?," jeritnya dalam bahasa Cina.

Dalam satu kenyataan media, syarikat penerbangan tersebut memberitahu penumpang itu terpaksa ditenangkan namun tiada tindakan susulan diambil terhadapnya.