Sebuah penerbangan yang dalam perjalanan dari Gold Coast, Australia ke Singapura terpaksa berpatah balik akibat pergaduhan yang berlaku dalam pesawat berkenaan.

Kejadian pada Isnin yang berjaya dirakamkan salah seorang penumpang, Rico David Garilli, menjadi bahan bualan di seluruh dunia memandangkan ramai yang terjejas.

Dia berkongsi video yang diambilnya di laman Facebook miliknya dan ia setakat ini telah ditonton lebih 42,000 kali.

Menurut Garilli, terdahulu apabila penerbangan itu diumumkan ditangguh, individu yang mencetuskan pergaduhan dalam video tersebut telah mengambil minuman keras dengan banyak.





Pergaduhan bermula kira-kira 20 minit selepas penerbangan yang sepatutnya memakan masa lapan jam itu.

Tambah Garilli, pesawat TR7 kendalian Scoot, syarikat penerbangan tambang murah Singapura, itu terpaksa berpatah balik dan mendarat di Lapangan Terbang Sydney selepas dua jam penerbangan.

Jurucakap Scoot dipetik berkata, ketika menaiki pesawat dan semasa pesawat berlepas, penumpang itu kelihatan normal, bagaimanapun, selepas pesawat berada di udara, dia mula mengganggu penumpang berdekatan dengannya.