Penumpang Feri Sewol yang karam di perairan Korea Selatan awal hari ini menceritakan detik-detik cemas mereka sewaktu berada dalam kapal tersebut.

Salah seorang penumpang mendedahkan bahawa sewaktu kejadian, semua penumpang diarahkan untuk tidak berganjak dan disuruh untuk kembali ke tempat sendiri.

“Pihak kru terus menyuruh kami untuk tidak berganjak dan duduk di tempat masing-masing,” seorang mangsa yang terselamat memberitahu saluran berita YTN.

“Tiba-tiba feri itu terangkat dan semua orang menggelongsor ke sebelah tepi. Ini telah menyebabkan kami sukar untuk keluar,” tambahnya.

Punca kejadian masih belum diberitahu walaupun penumpang memberitahu bahawa feri tersebut terhenti secara tiba-tiba, menunjukkan kemungkinan kapal tersebut berlanggar dengan dasar.

Pasukan keselamatan Korea Selatan termasuk penyelam tentera laut elit SEAL pada Rabu masih meneruskan pencarian kesemua 291 mangsa yang masih belum dapat disahkan status mereka.

Feri yang membawa 459 penumpang dan kru itu dalam perjalanan menuju je Pulau Jeju bagi tujuan lawatan sekolah dimana hampir kesemua penumpang merupakan pelajar sekolah menengah bersama 14 guru mereka.

Daripada jumlah mereka yang telah diselamatkan, 78 orang merupakan pelajar.

Timbalan Menteri Keselamatan dan Pentadbiran Awam, Lee Gyeong-Og berkata, 164 orang telah berjaya diselamatkan, namun 291 orang masih belum dapat dipastikan status mereka. Menurut kementeriannya empat disahkan maut termasuk seorang anak kapal wanita dan seorang pelajar.

Orang ramai mula bimbang bahawa jumlah kematian mungkin bertambah daripada angka asal, selepas kapal seberat 6,825 tan ini karam dan tenggelam sepenuhnya dalam masa dua jam selepas menghantar isyarat kecemasan pada jam 09:00 (0000 GMT).

“Saya berpendapat peluang untuk mereka yang masih terperangkap dalam kapal untuk selamat adalah tipis,” kata seorang pegawai pasukan keselamatan menerusi panggilan telefon dari lokasi kejadian.

Rakaman udara oleh stesen televisyen menunjukkan penumpang yang sedang memakai jaket keselamatan berada dalam keadaan ketakutan sambil memanjat untuk menaiki bot keselamatan.

Terdapat mangsa dilihat menggelongsor dari feri berkenaan menuju ke dalam air semasa pasukan keselamatan berusaha untuk menyelamatkan mereka.

Kementerian Keselamatan dan Pentadbiran Awam pada awalnya mengumumkan 368 orang telah berjaya diselamatkan dimana ia merupakan satu kesilapan disebabkan kekeliruan kenyataan yang dibuat oleh pelbagai sumber.

“Saya merasa dukacita melihat pelajar yang sedang dalam perjalanan untuk lawatan sekolah ... berdepan dengan insiden tragik ini. Saya mahu anda semua memberi sepenuh tenaga untuk menyelesaikan misi ini,” Presiden Park Geun-Hye berkata semasa membuat lawatan ke bilik utama agensi bencana di Seoul.

Kebanyakan daripada mereka berjaya diselamatkan adalah hasil bantuan nelayan serta bot-bot komersil sebelum flotila daripada pengawal pantai dan tentera laut kapal tiba dimana ia turut dibantu oleh beberapa helikopter.

Lee berkata, 1780 penyelam termasuk pasukan tentera lau SEAL Korea Selatan masih meneruskan pencarian kapal karam itu.

“Terlalu banyak lumpur dalam laut dan jarak penglihatan amat terhad,” tambahnya.

Sementara itu, menurut kenyataan oleh US 7th Fleet, kapal USS Bonhomme Richard yang sedang membuat rondaan di semenanjung Korea telah dihantar untuk membantu.

Punca kejadian masih belum diberitahu walaupun penumpang memberitahu bahawa feri tersebut terhenti secara tiba-tiba, menunjukkan kemungkinan kapal tersebut berlanggar dengan dasar.

Cuaca ketika itu dilaporkan baik dengan kelajuan angin sederhana.

LIHAT GALERI FOTO.