Penunjuk perasaan antikerajaan akan berarak ke Rumah Kerajaan sekali lagi pada 9 Dis, satu langkah untuk memperbaharui tekanan ke atas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan mahu meningkatkan ketegangan
politik di sini.

Pemimpin mereka, Suthep Thuegsuban (gambar) dari Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC), pada Jumaat menggesa orang ramai agar berdemonstrasi di Rumah Kerajaan yang menempatkan pejabat Perdana Menteri, bermula pukul 9.30 pagi pada 9 Dis.

Beliau memaklumkan kepada kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan dari kawasan luar bandar untuk berkumpul di dewan wilayah di seluruh negara dan pintu tertutup untuk mengelakkan pegawai wilayah daripada bekerja.

Beliau juga meminta pelajar untuk menyertai protes terhadap kerajaan.

"Kami akan berkumpul di setiap jalan raya di seluruh Bangkok dan menuju ke Rumah Kerajaan pada 9 Dis. Kita akan tahu pada hari Isnin, jika kita akan menang atau kalah," Suthep mengumumkan demikian di sini, petang semalam.

Beliau akan mengetuai perarakan ke Rumah Kerajaan itu, namun mereka tidak akan masuk ke dalam sebagai menghormati anggota tentera yang dikerahkan berkawal di sekitar Kawasan Rumah Kerajaan.

Beliau berkata, penunjuk perasaan akan berada di pusat pertemuan di Pusat Kompleks Kerajaan, sehingga Ahad malam.

Sementara itu, kumpulan Baju Merah penyokong kerajaan mengumumkan mereka akan mengadakan perhimpunan di Ayuthaya, terletak kira-kira 76km dari sini, pada 10 Dis.