Puluhan ribu penunjuk perasaan di Hong Kong dijangka keluar ke jalanan untuk memprotes pada Jumaat sempena ulang tahun penyerahan semula bandar raya itu di bawah pentadbiran Beijing.

Lebih banyak kumpulan pro-kemerdekaan turut menyertai perarakan itu buat kali pertama.

Sentimen ulang tahun penyerahan semula pada tarikh 1 Julai 1997 itu terus memuncak berikutan insiden seorang penjual buku Hong Kong mendedahkan bahawa dia telah ditahan dan disoal siasat selama berbulan-bulan di tanah besar China.

Lam Wing-Kee, 61, merupakan salah seorang daripada lima penjual buku yang disoal siasat kerana memiliki judul-judul buku mengenai ahli politik China.

Cerita mengenai Lam, yang mengetuai protes pada Jumaat, membimbangkan Beijing hingga bersedia untuk memberi tekanan tambahan kepada Hong Kong.

Pelbagai sektor masyarakat melihat tunjuk perasaan pada 1 Julai itu antara lain mahu mendesak pemimpin Hong Kong, Leung Chun-Ying untuk meletakkan jawatan, lebih-lebih lagi selepas dia memberi petunjuk akan menyandang jawatan itu untuk penggal kedua pada 2017.

Leung disifatkan pengkritik sebagai boneka Beijing dan telah dikecam kerana gagal membantu dalam isu melibatkan penjual buku berkenaan.

Pihak penganjur berkata penyertaan dalam demonstrasi kali ini dijangka seramai 100,000 orang.

“Mereka marah dengan kerajaan semasa dan sangat kecewa dengan aspek urus tadbir,” ujar Jackie Hung dari Barisan Hak Asasi Awam.

Pada tahun lalu, bilangan peserta demonstrasi seramai 48,000 orang dilihat sebagai demonstrasi paling lemah sejak tahun 2008. Ia dikatakan berpunca daripada 'keletihan peserta' selepas perarakan besar-besaran pada tahun 2014 juga gagal menghasilkan reformasi politik.

Walaupun dikatakan sebagai demonstrasi aman, sebuah lagi perarakan pro-kemerdekaan pada petang Jumaat di luar pejabat pentadbiran China dijangka berlangsung dengan lebih tegang.

Peserta demonstrasi berkata mereka akan memakai baju berwarna hitam dan bertopeng, manakala poster yang menguar-uarkan tentang protes itu memaparkan panunjuk perasaan mekakai topi keledar dan memegang kayu.

Polis sudah memberi amaran bahawa sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang akan dikenakan tindakan tegas, kerana demonstrasi itu tidak mendapat izin.

Pihak penganjur berkata mereka akan ber demonstrasi di luar pejabat pentadbiran China kerana marah terhadap layanan yang dikenakan ke atas Lam.

“Kes melibatkan Lam adalah mesej yang jelas bahawa China sudahpun memusnahkan konsep ‘satu negara, dua sistem’,” ujar Edward Leung dari kumpulan Hong Kong Indigenous, yang turut akan menyertai perarakan protes.

Leung merupakan sebahagian daripada pergerakan ‘suara tempatan’ yang terbentuk berikutan protes aman pada 2014 gagal membuahkan hasil.

Sesetengah warga tempatan berpendapat keganasan mungkin perlu untuk mendesak perubahan. Leung sendiri berdepan dakwaan setelah bertembung dengan polis di Mong Kok pada Februari.

Semenjak itu, golongan aktivis cuba untuk tidak terlalu menonjol.