Bekas presiden Korea Selatan yang digulingkan, Park Geun-hye, secara unilateral telah mengarahkan penutupan sebuah kompleks perindustrian antara Korea tahun lepas tanpa konsultasi dan proses perundangan sewajarnya, lapor agensi berita Yonhap memetik laporan sebuah panel penyiasat.

Laporan itu diumumkan oleh jawatankuasa sembilan anggota terdiri daripada pakar awam yang telah mengkaji polisi kerajaan konservatif Korea Utara sebelum ini, termasuk penutupan Kompleks Perindustrian Kaesong oleh Seoul pada Februari 2016.

Panel itu telah dilancarkan oleh Kementerian Perpaduan Seoul pada September.

Pentadbiran Park telah menutup zon kilang itu, yang terletak berdekatan dengan bahagian utara sempadan antara Korea, sebagai tindak balas terhadap ujian nuklear keempat dan pelancaran roket jarak jauh Korea Utara pada 2016.

Langkah itu menghapuskan simbol terakhir perdamaian antara Korea.

"Ia telah disahkan bahawa penutupan itu telah diputuskan dalam arahan lisan secara unilateral oleh presiden tanpa sebarang rundingan dan konsultasi di peringkat pembuat keputusan rasmi," demikian menurut laporan itu.

Bekas kerajaan pimpinan presiden itu mendakwa penutupan tersebut diputuskan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Nasional pada 10 Feb 2016, sejurus sebelum pengumuman dibuat.

Bagaimanapun, laporan menunjukkan bahawa Park membuat keputusan itu dua hari sebelumnya.

Laporan itu juga mendakwa penutupan tersebut adalah satu keputusan yang melampaui undang-undang, sambil menambah bahawa sesuatu keputusan politik, meskipun dibuat di tengah-tengah krisis keselamatan, hendaklah dilakukan dalam batas undang-undang serta mengikut prosedur perundangan.

Pada masa itu, kementerian terbabit mendakwa keputusan tersebut bertujuan mencegah wang yang dijana oleh taman perindustrian daripada membiayai pembangunan senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Bagaimanapun panel itu berkata tiada maklumat atau bukti yang mencukupi untuk menyokong dakwaan bahawa dana dari kompleks tersebut telah digunakan untuk tujuan lain.

"Ini menghalang kewajaran keputusan kerajaan dan membataskan pendirian Seoul pada masa akan datang berhubung isu membuka semula kompleks Kaesong," kata laporan itu.

Laporan itu berkemungkinan akan menghidupkan semula pertikaian berhubung syarat operasi bagi membolehkan kompleks Kaesong dibuka semula.

Kerajaan liberal pimpinan Moon Jae-in ketika ini berhasrat menjalin hubungan dan penglibatan lebih baik antara Korea dengan Pyongyang meskipun ia kini memfokus kepada megenakan sekatan serta tekanan terhadap Korea Utara berhubung program nuklearnya.

Seoul berkata pembukaan semula taman perindustrian itu akan bergantung kepada kemajuan dalam resolusi berhubung isu program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

"Dengan pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas Korea Utara, kami perlu membuka semula Taman Kaesong dan secara aktif bersiap siaga jika ada syarat tertentu dipenuhi susulan perubahan lanskap politik global," menurut laporan itu.

Panel itu juga menekankan bahawa isu bantuan kemanusiaan hendaklah ditangani secara berasingan daripada pertimbangan politik dan pertukaran antara orang awam antara Korea perlu digalakkan.

Satu program lawatan bersama di Gunung Kumgang, Korea Utara telah ditangguhkan sejak 2008, selepas seorang pelancong Korea Selatan dibunuh oleh seorang anggota tentera Korea Utara di negara itu.

Seoul turut mengenakan sekatan dengan melarang pertukaran antara Korea pada Mei 2010 bagi menghukum tindakan Korea Utara menenggelamkan sebuah kapal perang Korea Selatan.

Kajian panel itu dibuat selepas kerajaan Moon berusaha menetapkan satu polisi terhadap Korea Utara yang mampu bertahan sepanjang pentadbiran seterusnya tanpa mengira ideologi.

Ia mengatakan bahawa polisi antara Korea yang dibuat oleh Korea Selatan hendaklah dilakukan berdasarkan persetujuan umum dan undang-undang secara konsisten.

Kementerian itu berkata ia akan mengambil kira syor panel tersebut dalam menetapkan polisinya terhadap Korea Utara dan dalam isu perpaduan.

-- BERNAMA