Seorang penyanyi di selatan Sindh, Pakistan ditembak mati hanya kerana enggan berdiri untuk melayan permintaan tetamu semasa persembahannya.

Samina Samoon, 24, didakwa dibunuh suspek bernama Tarique Ahmed Jatoi dalam satu majlis perkahwinan setelah mangsa menolak ajakan untuk menari bersama.

Menurut media tempatan, suspek yang dipercayai mabuk ketika kejadian berang apabila ajakannya ditolak.

Kejadian tersebut yang berjaya dirakam menyaksikan Tarique melempar wang kepada mangsa yang hamil enam bulan itu sebelum menembaknya.

Rakaman insiden tersebut dikongsi di platform Twitter milik seorang aktivis hak asasi manusia, Kapil Dev.


Samoon yang dikejarkan ke Hospital Chandka bagaimanapun gagal diselamatkan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Laporan polis telah dibuat suami Samoon atas pembunuhan isteri dan anaknya yang masih dalam kandungan.

“Isteri saya yang sedang hamil enam bulan dan suspek perlu didakwa atas dua kesalahan membunuh.

“Samoon enggan menari kerana dia hamil tetapi suspek tetap membunuhnya kerana enggan menari,” kata suami mangsa, Ashiq Ali.