Pihak berkuasa dan pendakwa raya Perancis telah membuka kertas siasatan berikutan kes pencemaran salmonella dan penarikan semula besar-besaran susu formula bayi oleh syarikat gergasi Lactalis, lapor AFP.

Siasatan itu memfokuskan pelbagai dakwaan antaranya menyebabkan kecederaan tanpa sengaja, membahayakan nyawa, unsur penipuan dan kegagalan dalam melaksanakan tindakan menarik balik produk.

Laporan mengenai kira-kira 20 kanak-kanak jatuh sakit selepas meminum susu serbuk Lactalis, yang dijual di bawah beberapa jenama berbeza di Perancis dan negara-negara lain, mula mencetuskan panik sejak awal Disember lalu.

Syarikat tersebut, yang merupakan antara pengeluar produk tenusu terbesar dunia, telah menarik balik produk mereka secara besar-besaran pada 10 Disember.

Hampir 7,000 tan paket susu yang dikeluarkan kilang tercemar di Craon, barat laut Perancis.

Ketika itu, syarikat berkenaan tidak dapat mengesahkan jumlah kandungan yang mungkin membahayakan, atau yang telah dijual di seluruh dunia. Pada 21 Disember, arahan penarikan semula kedua telah dilaksanakan.

Sejak 15 Februari, semua produk yang dikeluarkan kilang Craon telah ditarik balik, dengan laporan pencemaran dikatakan berpunca daripada kerja-kerja renovasi awal tahun ini.

Arahan penarikan balik itu telah menjejaskan konsumer di beberapa negara seperti China, Pakistan, Bangladesh, Britain dan Sudan.

Simptom salmonella termasuk cirit-birit, kekejangan di perut dan muntah-muntah. Keadaan itu disebabkan aktiviti bakteria dalam usus yang datangnya daripada haiwan ternakan.

Simptom itu menjadi berbahaya jika berlanjutan kerana boleh menyebabkan dehidrasi teruk , terutamanya pada golongan berusia dan kanak-kanak.