Perancis menggesa Kesatuan Eropah (EU) agar mengenakan sekatan baharu ke atas Iran susulan penglibatannya dalam konflik berdarah di Syria, selain program peluru berpandu balistiknya.

Pada masa sama, Paris turut mahu meyakinkan Washington agar mengekalkan Perjanjian Nuklear dengan Tehran yang dibuat di Vienna, Austria, pada 2015.

Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mahu perjanjian itu diubah kerana baginya perjanjian yang dibuat semasa pentadbiran Barack Obama itu adalah lemah.

Justeru, AS memberikan tempoh sehingga 12 Mei depan bagi blok terbabit menyatakan pendirian.

Sebagai tindak balas, tiga negara kuasa besar dalam blok itu - Perancis, Britain dan Jerman - telah mencadangkan sekatan baru dilakukan EU ke atas Iran kerana menyokong rejim Syria.

"Kami bertekad untuk memastikan kesepakatan dan perjanjian yang ditandatangani di Vienna dihormati," jelas Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian.

"Tetapi kita tidak harus mengecualikan Iran dalam program peluru berpandu balistiknya dan peranannya yang sangat ketara di Asia Barat," jelasnya.

Katanya, Iran juga didapati telah menyalurkan bantuan ketenteraan termasuk peluru berpandu kepada sekutunya di Syria dan Yaman, serta pejuang Hezbollah.

Sebarang pendekatan terbaharu EU selepas ini dilihat mampu menyekat program nuklear Tehran sekurang-kurangnya untuk 10 tahun akan datang.

Sementara itu, Ketua Polisi Luar EU, Federica Mogherini, yang mempengerusikan peringkat terakhir rundingan nuklear, menekankan EU tiada kedudukan rasmi untuk melaksanakan sekatan baharu.

Rundingan itu melibatkan Iran, Britain, China, Perancis, Jerman, Rusia dan AS.

"Buat masa ini, kami akan membincangkan cara-cara bagaimana kita dapat memastikan pelaksanaan penuh perjanjian nuklear dengan Iran," kata Mogherini.

Tambahnya, setakat ini belum ada sebarang strategi baharu dibincang untuk menambah sekatan terhadap Iran.