PARIS:Perancis akan secara berperingkat mengharamkan penggunaan hidupan liar dalam persembahan sarkas, seterusnya mahu menghentikan pertunjukan paus dan lumba-lumba.

Reuters melaporkan, selain daripada itu, negara tersebut juga mahu melarang penternakan mink (sejenis haiwan mirip spesies memerang) daripada diambil bulunya untuk dijadikan produk, kata Menteri Alam Sekitarnya, Barbara Pompili pada Selasa.

Peralihan itu akan mengambil masa beberapa tahun dan pertunjukan haiwan yang sedia ada bakal menerima bimbingan kerajaan supaya bertukar kepada kaedah baharu.

“Hari ini, saya mengumumkan pengakhiran progresif bagi kewujudan haiwan liar dalam siri jelajah sarkas, termasuk larangan pertunjukan paus orca dan lumba-lumba di pusat akuarium yang tidak mementingkan keperluan mamalia marin itu, serta mengakhiri penternakan mink untuk bulunya,” tegas Pompili.

Barbara Pompili mahu mengakhiri pertunjukan yang mengeksploitasi haiwan. - Reuters

Tambahnya, langkah itu akan memberi kesan ke atas kira-kira 80 sarkas, yang mengeksploitasi 230 ekor haiwan termasuk harimau, singa, gajah, badak air, serigala dan banyak lagi.

Perancis yang sudah memiliki tiga buah pusat dolfinarium, tidak akan membenarkan pembukaan pusat baharu seumpamanya, malah mahu menutup tiga lokasi tersebut dalam tempoh tujuh hingga 10 tahun. Pompili juga mahu menutup empat pusat ternakan mink dalam masa lima tahun.

Pihak pemerintah akan membekalkan pakej bantuan bernilai lebih 8 juta Euro demi membantu pusat persembahan haiwan bertukar kepada model perniagaan baharu.

Lebih kurang 20 negara Eropah telahpun mengharamkan atau mengehadkan penggunaan hidupan liar dalam sarkas. Di Perancis, banyak bandarnya sudah tidak membenarkan haiwan dieksploitasi demi menjual tiket.

Salah seekor haiwan yang digunakan dalam pertunjukan sebuah sarkas di Perancis. - Reuters

Ketua Persatuan Pertunjukan Haiwan Perancis, William Kerwich berkata, perintah larangan itu seumpama ‘menikam belakang’ industri yang selama ini sudahpun terjejas teruk akibat pandemik koronavirus.

"Ini akan membuatkan ramai orang kehilangan kerja, Siapa pula akan menjaga haiwan-haiwan itu?  Semuanya dilahirkan dalam kurungan, dan tidak boleh dilepaskan ke habitat semulajadi,” ujarnya.

Sementara itu, kumpulan pejuang hak haiwan Fondation Brigitte Bardot dalam satu kenyataan memberitahu, mereka menerima haiwan-haiwan sarkas yang selama ini ‘dikurung dan dieksploitasi dalam keadaan yang teruk’.