Perdana Menteri Ireland yang baharu Micheal Martin memperincikan keutamaan barisan Kabinet pimpinannya sebaik dipilih menerajui negara itu.

Antara lain, katanya, keutamaan beliau ialah memerangi COVID-19 yang masih menjadi pandemik global.

Ujar beliau, antara inisiatif bakal digerakkannya ialah pelan mencergaskan ekonomi domestik yang terjejas akibat COVID-19.

Ini termasuk menyediakan peluang pelaburan yang berupaya memberi pekerjaan selain beberapa insiatif pemulihan lain.

Cadangan itu, katanya, akan dibawa ke Parlimen bulan depan.

Martin, 59, dipilih menjadi perdana menteri baharu Ireland selepas sidang khas Parlimen berlangsung di Dublin.

Beliau merupakan pemimpin parti Fianna Fail sejak 2011.

Selain memimpin parti, Martin juga akan mengetuai kerajaan campuran disertai dua lagi parti iaitu Fine Gael dan Green.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah Ireland parti Fianna Fail dan Fine Gael bergabung sebagai sebuah perikatan mentadbir negara.