Pemimpin Belarus, Alexander Lukashenko pada Sabtu memecat Perdana Menteri beliau dan beberapa anggota kerajaan penting, susulan satu skandal rasuah yang menyaksikan sejumlah pegawai kanan turut ditahan.

Perdana Menteri Andrei Kobyakov akan digantikan dengan bekas ketua bank pembangunan, Sergei Rumas, menurut kenyataan pejabat media presiden.

Beberapa naib perdana menteri serta menteri ekonomi juga akan dipecat.

Pada musim panas ini, satu skandal rasuah menggegarkan perkhidmatan negara bekas Soviet itu.

Pihak berkuasa menahan puluhan pegawai kanan kesihatan, wakil syarikat perubatan dan ubatan atas dakwaan menyeleweng jutaan dolar dana kerajaan. - Agensi