Seorang pereka bilik permainan ‘Escape Room’ di Poland di mana lima remaja perempuan maut akibat kebakaran minggu lalu, telah dibawa ke mahkamah pada Isnin.

Mahkamah Daerah Koszalin mengarahkan Milosz S., 28 tahun, untuk ditahan selama tiga bulan sementara prosiding kes itu dijalankan.

Menurut wakil dari Pejabat Pendakwa Raya Daerah, Milosz mempunyai hak untuk memfail aduan dalam masa tujuh hari.

Pihak pembelaan Milosz berkata, walaupun mereka berharap prosiding mahkamah dapat dijalankan secepat mungkin, namun mereka percaya kes itu akan mengambil masa kerana ia kes yang unik.

Peguam Milosz, Wojchiech Janus berkata, anak guamnya kini "sangat murung" dan dalam "keadaan mental yang sangat teruk".

Sementara itu, Datuk Bandar Koszalin pada Isnin mengumumkan, kelima-lima remaja yang maut akan disemadikan bersama dalam satu upacara yang bakal diadakan minggu ini.

Pada Jumaat lalu, lima remaja perempuan berusia 15 tahun maut apabila bilik permainan ‘Escape Room’ di sebuah pusat hiburan yang mereka kunjungi terbakar.

Kumpulan remaja tersebut, semuanya dari sekolah yang sama, dilaporkan sedang menyambut ulang tahun kelahiran salah seorang daripada mereka.

Menurut laporan bedah siasat, kesemua remaja itu meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida.

Pihak bomba tempatan berkata, susulan insiden tersebut, 26 pusat hiburan Escape Room yang lain telah ditutup selepas didapati tidak memenuhi aspek keselamatan.

Pemeriksaan ke atas 1,100 lagi tapak Escape Room di sekitar Poland masih dijalankan.