Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara bermula 10 malam hingga 4 pagi bermula Jumaat bagi mengekang penularan COVID-19.

Langkah terbaharu yang diumumkan pada petang Khamis itu adalah bagi menurunkan jumlah kes positif yang meningkat mendadak di negara itu pada pertengahan Mac.

"Bagi mengekang penularan wabak itu dan mengurangkan pergerakan orang awam, saya mengumumkan perintah berkurung terhadap orang ramai yang tidak dibenarkan keluar dari rumah mereka dari jam 10 malam hingga 4 pagi di seluruh negara.

"Namun pengecualian dengan hanya sebab-sebab tertentu sahaja dibenarkan keluar rumah," tegasnya.

BACA: Thailand laksana sekatan jalan raya di seluruh negara

Beberapa pengecualian diberikan, umpamanya bagi penghantaran barangan keperluan perubatan, penghantaran mereka yang diletakkan di bawah kuarantin, pesakit dan kakitangan perubatan.

Sekatan kemasukan antarabangsa juga dipertingkatkan dengan mereka yang memasuki negara itu perlu melalui saringan kesihatan semasa tiba dan perlu dikuarantin selama 14 hari.

BACA: Sekatan keluar masuk di Phuket hingga 30 April

Pada Khamis, Thailand mencatatkan 104 kes positif baharu menjadikan jumlah kumulatif di negara itu adalah 1,875 kes.

Minggu lalu kerajaan negara itu mengisytiharkan perintah darurat sehingga 30 April dalam usaha mengekang pandemik COVID-19 di negara itu.

BACA: COVID-19: Thailand isytihar perintah darurat dengan langkah-langkah ketat