Agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) menuduh Korea Utara meningkatkan pengeluaran bahan api senjata nuklear di beberapa tapak rahsia dalam tempoh beberapa bulan ini.

Negara pimpinan Kim Jong Un itu juga dikatakan menyembunyikan perkara itu sepanjang sidang rundingan berkaitan tenaga nuklear dengan AS, lapor Reuters yang memetik sumber rasmi berita NBC.

Dalam sebuah laporan pada Jumaat, rangkaian televisyen itu menyiarkan maklumat penilaian perisikan AS tersebut yang disifatkan berbeza dengan sentimen yang dizahirkan Presiden Donald Trump.

Trump dalam Twitternya selepas sidang kemuncak bersama Jong Un berkata ‘tiada lagi ancaman nuklear dari Korea Utara’.

NBC dalam laporannya memetik maklumat daripada lima pegawai tinggi AS yang enggan dinamakan.

Maklumat itu menyatakan, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Korea Utara telah meningkatkan pengeluaran senjata nuklear uranium, walaupun ia sedang menjalin fasa diplomatik dengan AS.

Maklumat itu juga merumuskan bahawa Korea Utara mempunyai lebih daripada satu tapak nuklear rahsia selain kemudahan pengeluaran yang diketahui umum iaitu di Yongbyon.

Agensi Perisikan Pusat (CIA) enggan mengulas tentang laporan NBC itu. Jabatan Negara pula berkata, pihaknya tidak boleh mengesahkannya kerana ia adalah urusan pihak perisikan. White House juga belum memberikan maklum balas.