Negara-negara Eropah mendesak Amerika Syarikat supaya mengekalkan perjanjian nuklear dengan Iran.

Perjanjian itu yang menghadkan program nuklear Iran, disifatkan mampu menjadikan dunia tempat yang lebih selamat.

Desakan dinyatakan Setiausaha Luar Britain, Boris Johnson selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Iran, Perancis, Jerman dan negara Kesatuan Eropah (EU) di Brussels.

Johnson turut mendesak Presiden Donald Trump untuk memperkenalkan alternatif lebih baik, sekiranya mahu meminda atau membatalkan perjanjian nuklear tersebut.

Oktober lalu, Trump enggan mengesahkan perjanjian tersebut kerana mendakwa Iran tidak memenuhi kewajipannya seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Dasar Luar EU, Federica Mogherini menegaskan blok itu melihat perjanjian berkenaan sebagai mencapai sasaran, dengan kemampuan dunia untuk memantau rapat program nuklear Tehran.

Ia juga mengelak potensi perlumbaan menghasilkan senjata nuklear di rantau berkenaan.