Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) memaklumkan kepada firma perkongsian kenderaan, Grab, bahawa model perkhidmatan perkongsian kereta antara Singapura dan Johor Bahru, Johor 'tidak mematuhi peraturan di Singapura', demikian lapor Channel News Asia pada Isnin.

Laporan itu berkata Grab kini sedang menjalankan program perintis percuma untuk perkhidmatan Singapura-Johor Bahru, bagaimanapun, LTA maklum bahawa pengangkutan perkongsian merentas sempadan secara percuma itu adalah sah.

"Kereta yang didaftarkan di Malaysia tidak dibenarkan menyediakan perkhidmatan sewa di Singapura tanpa lesen kenderaan perkhidmatan awam.

"Begitu juga dengan peraturan di Malaysia yang tidak membenarkan kenderaan didaftarkan di Singapura berbuat perkara sama di Malaysia tanpa lesen kenderaan perkhidmatan awam," jurucakap LTA dipetik sebagai berkata.

Laporan itu menyatakan pada 13 Jun, Grab mengumumkan anggaran tambang, dengan meletakkan kos purata perjalanan pada S$12 (S$1=RM3).

Bagaimanapun, Grab dilaporkan menerusi laman webnya bahawa perkhidmatan itu akan dijalankan dengan tambang percuma sepanjang tiga minggu menerusi program perintis itu.

Firma itu juga kini sedang 'bekerjasama dengan LTA di Singapura dan pihak berkuasa di Malaysia' mengenai penggunaan perkongsian kenderaan bagi meningkatkan hubungan antara Singapura dan Johor Bahru.

Laporan itu berkata perkhidmatan perkongsian kenderaan merentas sempadan secara haram memang wujud di Singapura, dan mengiklankan perkhidmatan mereka menerusi aplikasi seperti Facebook dan WeChat.

Di bawah seksyen 101 Akta Lalu Lintas Jalan Raya, sesiapa yang didapati menggunakan kenderaan yang didaftarkan di luar negara sebagai kenderaan perkhidmatan awam tidak berlesen bagi membawa penumpang boleh didenda hingga S$3,000 dan penjara sehingga enam bulan, katanya.