Kerajaan mahu memperkukuh hubungan akrab dengan Kuwait terutama dalam aspek perdagangan dua hala kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Kuwait merupakan rakan dagang negara yang penting di dalam Gulf Cooperation Council (GCC) di mana Kuwait merupakan rakan dagang Malaysia yang keempat terbesar di kalangan negara-negara GCC.

"Ia merupakan rakan dagang terbesar selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Qatar.

"Dari aspek perdagangan dua hala kedua-dua negara, nilai perdagangan pada tahun 2015 adalah sebanyak USD1.02 billion, yang merangkumi nilai eksport sebanyak USD218 juta dan import sebanyak USD798.7 juta.

"Perjanjian Perdagangan di antara Malaysia akan dimeterai dengan Timbalan Perdana Menteri Pertama Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anifah dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Kuwait pada Isnin sehingga 23 March di atas jemputan daripada Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.

Ia merupakan lawatan rasmi kali pertama Anifah tahun ini selepas lawatan kerjanya pada 27 sehingga 29 Mei 2015 dan 24 sehingga 25 Ogos 2014.

Anifah akan diiringi oleh isterinya, Datin Seri Siti Rubiah Abdul Samad serta beberapa pegawai dari Kementerian.

Ketika lawatan ini juga, Anifah akan menghadap Amir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Jaber Al-Mubarak Al-Hamad Al-Sabah di Istana Bayan.

Anifah juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Speaker National Assembly Kuwait, Marzouq Al-Ghanim dan delegasi akan menghadiri majlis rasmi makan tengah hari yang akan di hos oleh Sheikh Sabah Khalid Al-Hamad Al-Sabah.

Dalam pada itu kata Anifah, lawatan rasmi itu bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan akrab antara Malaysia dan Kuwait.

"Kedua-dua pihak dijangka dapat membincangkan serta membuka jaringan kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pelaburan, minyak, tenaga, pendidikan dan pelancongan.

"Kedua-dua pihak juga dijangka membincangkan isu-isu serantau dan pelbagai hala yang mempunyai kepentingan bersama," jelasnya.