Permaisuri Sirikit dimasukkan ke Hospital Chulalongkorn di Bangkok pada Ahad selepas dilaporkan mengalami jangkitan virus influenza.

Menurut satu kenyataan dari Biro Hal Ehwal Kerabat DiRaja Thailand, Permaisuri Thailand yang berusia 86 tahun tersebut dimasukkan ke hospital selepas mengalami demam panas dan batuk.

Permaisuri Sirikit merupakan balu kepada mendiang Raja Bhumibol Adulyadej yang mangkat pada 2016 selepas tujuh dekad memerintah Thailand dan bonda kepada Raja Maha Vajiralongkorn, 66 tahun.

Kebelakangan ini, Permaisuri Sirikit jarang membuat kemunculan awam.

Terbaharu, pihak istana Thailand telah mengeluarkan beberapa gambar sambutan kelahiran ke-86 Permaisuri Sirikit bersama-sama anak-anaknya pada 12 Ogos lalu.

Keadaan Permaisuri Sirikit semakin pulih, namun beliau akan terus berada di hospital untuk dipantau.