Rakyat Jepun telah menunggu lebih daripada dua abad hanya untuk menyaksikan sendiri upacara penurunan takhta maharajanya iaitu Maharaja Akihito.

Apa yang menariknya, upacara utama itu hanya mengambil masa selama 10 minit sahaja bagi menyempurnakan ritual penting itu.

Ritual berkenaan akan berlangsung tepat pada jam 5.00 petang waktu tempatan (4.00 petang waktu Malaysia) pada 30 April di dalam bilik "Matsu-no-Ma" iaitu sebuah bilik yang diperbuat daripada kayu seluas 370 meter persegi yang dianggap sebagai bilik paling elegan di Istana mewah itu.

Ia adalah satu-satunya bilik dengan lantai kayu yang diperbuat daripada Pokok Zelkova Jepun dengan dinding yang ditutup dengan kain bermotifkan dedaun pokok berkenaan.

Upacara itu akan diadakan di hadapan pedang warisan dan permata kuno yang menjadi sebahagian daripada persalinan pakaian maharaja itu.

Pedang warisan dan permata kuno tersebut diletakkan di dalam kotak dan dibawa masuk ke dalam bilik berkenaan, namun, ada unsur ketiga selain daripada persalinan tersebut iaitu cermin suci yang tidak pernah dialihkan daripada tempat khasnya di istana berkenaan.

Lebih 300 tetamudijangka hadir ke upacara itu termasuk kaum kerabat diraja, pemimpin kerajaan, ahli parlimen, hakim tertinggi, ketua kerajaan tempatan, bangsawan serta pasangan mereka.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe akan berucap mewakili rakyat sebelum Maharaja Akihito menurunkan takhtanya sebagai maharaja secara rasmi.

Ini adalah upacara terakhir maharaja untuk bertemu wakil rakyat sebelum dia menurunkan takhtanya.

Apabila waktu memasuki tengah malam, Maharaja Akihito secara rasmi tidak lagi menjadi maharaja Jepun.

Permata kuno, pedang warisan simbolik upacara turun takhta maharaja Jepun

Upacara turun takhta Maharaja Akihito itu sekali gus akan memulakan era Jepun yang baharu dikenali sebagai "Reiwa".

"Reiwa" yang bererti harmoni dan tertib bakal digunakan Putera Naruhito bermula 1 Mei ini.

Dalam amalan Jepun, Akihito mengakhiri eranya yang dikenali sebagai ‘Heisei’.

BACA: Maharaja yang memecah tradisi: Kisah hidup Akihito