Presiden Peru Pablo Kuczynski meninjau tahap kerosakan di kawasan pantai di Peru yang terjejas akibat gempa bumi kuat pada Ahad yang mengorbankan satu nyawa dan berpuluh-puluh yang lain hilang selain mengakibatkan ramai cedera.

Gempa bumi berukuran 7.1 magnitud itu meranapkan 63 buah rumah sekali gus menyebabkan 130 mangsa kehilangan tempat tinggal.

Kajian geologi Amerika Syarikat merekodkan, gempa berpusat di 40 kilometer dari Acari di Arequipa barat daya Peru.

Menurut Gabenor Arequipa, Yamila Osorio, mangsa yang maut merupakan seorang lelaki berusia 55 tahun menemui ajal akibat dihempap oleh runtuhan batu dalam insiden itu.

Institut Pertahanan Awam Kebangsaan di sana turut melaporkan gempa juga menyebabkan 57 orang cedera dan 23 daripadanya ialah penduduk di daerah Chala.

"Bantuan sedang dikerah dan mangsa yang terjejas akan menerima bantuan dengan segera, '' kata Kuczynski selepas selesai meninjau kesan-kesan gempa di pantai negara itu.

Dalam hal ini, kata beliau, pasukan penyelamat bertungkus lumus di kawasan bencana bagi membuat taksiran tahap kemusnahan dan mengenal pasti mangsa terjejas.

Hasil penilaian awal mendapati, kawasan terjejas adalah di luar bandar dengan runtuhan menghalang jalan raya sekali gus menjejaskan proses penghantaran bantuan.

"Khemah, selimut dan bantuan kemanusiaan lain turut digerakkan menerusi udara,'' kata beliau.

Pada 2007, ratusan penduduk terbunuh akibat gempa bumi yang melanda wilayah Ica.