Gara gara terdengar perbualan yang mencurigakan, juruterbang syarikat penerbangan easyJet terpaksa menukar laluan dari London dan mendarat cemas di Lapangan Terbang Cologne Bonn, Jerman pada Sabtu malam.

Tiga penumpang kemudian ditahan selepas penumpang lain mendakwa terdengar perbualan mereka yang berkisar tentang pengganas, bom dan bahan letupan.

Polis dilapor merampas beg galas kepunyaan seorang daripada penumpang terbabit dan meletupkannya di luar pesawat.

Tiada maklumat diberikan tentang kandungan beg tersebut atau identiti ketiga-tiga penumpang berkenaan.

Pesawat yang membawa 151 penumpang dan anak kapal itu baru sahaja berlepas dari Lapangan Terbang Slovenia Ljubljana.

Kejadian menyebabkan operasi penerbangan terganggu selama tiga jam.