Sebuah pesawat penumpang Indonesia pada Khamis terpaksa berpatah balik selepas kru mendapati sebuah pintunya tidak ditutup dengan betul, lapor AFP.

Pesawat Boeing 737 milik Sriwijaya Air yang membawa 180 penumpang dan 12 kru dari China ke Bali itu telah pun terbang 1.5 jam dalam penerbangan yang biasanya mengambil masa lima jam.

Jurucakap syarikat penerbangan itu Agus Soedjono berkata pesawat terpaksa berpatah balik apabila sistem elektronik mengesan ada pintu penumpang di hadapan pesawat yang tidak ditutup dengan betul.

"Sistem hanya dapat mengesan masalah ini apabila pesawat berada di udara," katanya kepada AFP.

Pesawat berpatah balik ke bandar Guangzhou di China di mana ia berlepas dan menjalani pemeriksaan selama 30 minit sebelum terbang semula ke Denpasar di pulau peranginan Bali.

Namun selepas insiden itu, kira-kira 20 penumpang enggan meneruskan penerbangan ke Bali menaiki pesawat sama.

Tiada penumpang atau kru yang cedera dalam kejadian itu.