Penerbangan sebuah pesawat milik Lion Air tertunda pada Ahad susulan ancaman bom oleh seorang penumpang yang berada di dalam kabin.

Menurut laporan media tempatan, penumpang lelaki itu dikatakan bergurau bahawa terdapat sebuah bom di dalam pesawat tersebut.

Akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki berkenaan, pesawat penerbangan Lion Air JT280 dari Jakarta ke Kuala Lumpur itu terpaksa ditunda selama hampir dua jam.

Penumpang itu kemudian ditahan pihak berkuasa Lapangan Terbang Soekarno Hatta untuk membantu siasatan.

Menurut wakil Bahagian Komunikasi Korporat Lion Air, Danang Mandala Prohantoro, penundaan waktu penerbangan itu adalah bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Susulan kejadian, pihak Lion Air telah membuat pemeriksaan mengikut standard prosedur operasi (SOP) yang ditetapkan sebelum pesawat dibenarkan berlepas.

Pesawat tersebut dijadualkan bertolak pada jam 11.40 pagi namun hanya berlepas pada jam 2.15 petang waktu tempatan.