Pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Karawang adalah sebuah pesawat baharu yang mula melakukan operasi penerbangan pada 15 Ogos 2018.

Berdasarkan kenyataan daripada Lion Air, pesawat itu membawa 178 penumpang dewasa, seorang kanak-kanak dan dua bayi.

Pesawat dikendalikan Kapten Bhavye Suneja dan pembantu juruterbang Harvino, bersama enam anak kapal iaitu Shintia Melina, Citra Noivita Anggelia, Alviani Hidayatul Solikha, Damayanti Simarmata, Mery Yulianda, dan Deny Maula.

BACA LAPOR LANGSUNG: Nahas pesawat Lion Air


Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu yang membawa 181 dan lapan anak kapal itu dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas di perairan Karawang, selepas berlepas 6.20 pagi tadi dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada jam 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia).


Menurut jurucakap Komunikasi Stategik Korporat Lion Air Danang Mandala Prihantoro, pesawat itu direkodkan dalam keadaan baik sebelum berlepas.

"Juruterbang sudah memiliki jam penerbangan lebih dari 6,000 jam terbang, dan pembantu juruterbang mempunyai lebih dari 5,000 jam penerbangan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Lion Air telah membuka pusat operasi berhubung nahas itu dan anggota keluarga boleh menghubungi pusat berkenan di talian (+62) 021-80820000 atau (+62) 021-80820002 untuk mendapatkan maklumat lanjut.


Sementara itu Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (BASARNAS) dalam satu kenyataan berkata pasukan mencari dan menyelamat telah menemui beberapa serpihan dan barang milik penumpang pesawat berkenaan.

Setakat ini tiada makluman rasmi berkenaan jumlah korban, namun dikhuatiri semua penumpang dan anak kapal terkorban dalam kejadian itu.

-- BERNAMA