Polis Paris hari ini mencari petunjuk untuk memburu pihak yang bertanggungjawab melancarkan drone (pesawat peninjau tanpa pemandu) pada lewat malam di ruang udara ibu kota Perancis tersebut.

Objek misteri yang terbang di atas sekurang-kurangnya lima mercutanda Paris termasuk Menara Eiffel itu dikesan lagi selepas beberapa insiden sebelum ini yang menyaksikan pesawat peninjau seumpamanya berlegar-legar berhampiran kawasan loji nuklear dan juga istana presiden.

Kehadiran objek terbang itu hanya menambah kegelisahan awam lebih-lebih lagi ketika aspek keselamatan di Paris meruncing berikutan serangan pengganas yang mengorbankan 17 orang.

Pesawat peninjau pertama dikesan berdekatan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara Perancis tersebut selepas waktu tengah malam. Ia memaksa pihak polis mengikut objek tersebut yang kemudiannya dilihat menuju ke lokasi muzium ketenteraan Invalides, sebelum ia hilang dari pandangan.

Tidak lama selepas itu, empat lagi pesawat peninjau tanpa pemandu dikesan di beberapa mercutanda Paris termasuk Menara Eiffel, Place de la Concorde dan di bangunan tertinggi di Paris, Menara Montparnasse.

"Ia boleh jadi suatu perbuatan yang diselaraskan namun kita tidak tahu buat masa ini,” kata satu sumber.

“Kami telah lakukan segalanya untuk menangkap pengendalinya namun mereka belum ditemui,” ujar satu sumber lagi.

Menurut satu sumber polis yang juga tidak mahu didedahkan, pihak berkuasa masih tidak jelas berapa ramai individu terlibat dalam pelancaran pesawat peninjau tersebut hinggakan pasukan anggota keselamatan terpaksa menghabiskan masa enam jam hanya untuk mengesan pengendalinya.

Pada Oktober dan November tahun lalu, kira-kira 20 pesawat yang tidak dikenali terbang di ruang udara berdekatan tapak ujikaji nuklear.

Selain itu, seorang pelancong Israel pernah ditahan semalaman di penjara kerana menerbangkan pesawat peninjau di atas katedral Notre Dame.

Perancis telahpun melancarkan program bernilai 1.1 juta euro (RM4.5 juta) yang dikhususkan dalam usaha membangunkan kaedah mengesan dan memintas aktiviti pesawat peninjau.

Pesawat peninjau tanpa pemandu boleh ditemukan dalam pelbagai bentuk dan saiz serta mempunyai pelbagai fungsi seperti aplikasi ketenteraan, pembikinan filem, sukan, bantuan bencana dan penyelidikan saintifik.

"Adakah ia suatu permainan atau tinjauan bagi melakukan operasi tertentu pada masa akan datang? Siasatan akan menunjukkan segalanya.

“Ia sangat misteri dan walaupun ia tiada kaitan dengan keganasan, kami mennganggap perkara ini sangat serius,” ujar ketua polis di Paris.