Dua pesawat penumpang Indonesia terpaksa membatalkan penerbangan ketika ia dijadualkan hendak berlepas dari lapangan terbang di Jakarta berikutan berlaga sayap, dalam insiden terkini sektor penerbangan republik itu.

Pada Ahad lalu, pesawat-pesawat yang dikendali syarikat domestik Lion Air itu sedang bergerak ke runway Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta apabila bahagian sayap bertembung, lapor AFP.

Walau bagaimanapun, kerosakan yang dialami tidak teruk dan tiada siapa yang cedera, ujar pengarah hal ehwal Lion Air, Edward Sirait.

Selepas pelanggaran antara pesawat Boeing dan Airbus itu, kesemua penumpang dipindahkan ke pesawat lain bagi meneruskan perjalanan mereka ke Bali dan Sulawesi.

Ditanyakan tentang punca kemalangan itu, Sirait berkata: “Kami sedang menunggu hasil siasatan pihak berkuasa penerbangan.”

Insiden terbaru itu berlaku selang sebulan selepas kes pelanggaran pesawat Batik Air dan TransNusa, di lapangan terbang yang lebih kecil di ibu negara tersebut iaitu Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma.

Dalam kejadian itu, salah satu sayap pesawat rosak teruk dengan berlaku kebakaran. Semua penumpang berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

Industri penerbangan Indonesia sedang berkembang, namun beberapa insiden buruk telah mencalarkan rekod keselamatan dan reputasinya.