Selepas tercetus ketegangan diplomatik dengan beberapa negara ekoran kontroversi kes serangan menggunakan agen saraf ke atas seorang bekas perisik, Sergei Skripal, di Britain, para diplomat Rusia yang diusir memulakan langkah untuk kembali ke tanah air mereka.

Terbaru, sebuah pesawat Rusia kelihatan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles, Washington, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, dipercayai untuk memulakan proses mengambil kesemua diplomat mereka di bumi Uncle Sam itu.

Setakat ini 12 negara termasuk AS, Kesatuan Eropah serta NATO telah mengeluarkan perintah pengusiran terhadap 150 diplomat Rusia dari negara dan pertubuhan mereka sebagai tanda solidariti bersama Britain atas kes Skripal.

Moscow yang tetap dengan pendirian menafikan tuduhan itu turut mengambil tindakan yang sama dengan menghalau diplomat AS dari Rusia beberapa hari lalu.

Rusia juga memberi amaran akan mengusir semua diplomat negara terbabit yang mengusir diplomat mereka.