Papua New Guinea (PNG) berdepan satu lagi nahas udara apabila pesawat ringan yang membawa 12 orang terhempas ke dalam paya semasa mendarat di sebuah lapangan terbang di wilayah barat negara itu, lapor agensi berita China, Xinhua.

Media tempatan melaporkan pada Khamis bahawa kesemua 12 individu, termasuk juruterbang rakyat Australia, terbunuh. Kewarganegaraan mangsa lain yang berada dalam pesawat belum dikenal pasti.

Dipercayai satu daripada enjin berkembar pesawat ringan jenis Britten Norman-Islander itu gagal berfungsi ketika berada di udara sebelum ia terhempas ke dalam paya, satu kilometer dari landasan pendaratan Kiunga yang terletak di tengah-tengah kawasan tanah tinggi Papua New Guinea pada Rabu petang.

Pesawat itu, yang dikendali Sunbird Aviation, dalam perjalanan pulang ke Kiunga dari kawasan pedalaman Oksapmin di Pergunungan Star, yang hanya boleh diakses dengan berjalan kaki atau pengangkutan udara.

Papua New Guinea mempunyai satu daripada persekitaran paling berbahaya di dunia untuk penerbangan dengan kawasan pergunungan berceranggah dan cuaca tidak menentu, yang sememangnya mengganggu navigasi.

Selain itu, kebanyakan landasan pendaratannya dibina di kawasan tanah beralun atau hutan tebal yang ditebang, lapor Xinhua.

Pihak berkuasa penerbangan awam PNG masih menyiasat nahas itu.