Singapura tidak akan memperluaskan sokongan kediaman sementara kepada majikan yang terlibat, selepas 31 Mac 2020 berikutan langkah Malaysia melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) republik itu pada 17 Mac mengumumkan bahawa ia akan menyediakan sokongan kediaman sementara untuk membantu majikan membiayai kos tambahan tempat tinggal ke atas pekerja yang terjejas, berikutan PKP yang dilaksanakan pada 18 Mac.

Kerajaan Singapura menyediakan sokongan kewangan sebanyak S$50 satu malam kepada majikan di negara tersebut, selama 14 malam bagi setiap pekerja yang terjejas oleh perintah tersebut.

"Bagi tujuan kemampanan dan kesinambungan perniagaan jangka panjang, majikan perlu membuat keputusan yang terbaik bagi menempatkan pekerja mereka di Singapura, ini termasuk perkongsian kos tambahan dengan pekerja yang terjejas," katanya dalam laman web MOM.

Kementerian itu menggalakkan semua majikan yang terlibat untuk mencari pilihan kediaman yang lebih mampan.

Sepanjang minggu lepas, kerajaan Singapura telah membantu memudahkan penginapan untuk pekerja yang terlibat.

"Secara keseluruhan, kerajaan telah membantu sekitar 2,000 firma membabitkan penginapan untuk lebih daripada 10,000 pekerja yang terjejas," kata MOM, sambil menambah bahawa ada juga firma yang telah membuat penyelesaian sendiri bagi menampung pekerja yang terjejas," katanya.

Sejak itu, MOM telah menghubungi para majikan untuk memastikan bahawa pekerja mereka berjaya ditempatkan di kediaman sementara yang selamat dan sesuai.

Menurut MOM, ia sekarang ini akan memulakan fasa seterusnya iaitu bekerjasama dengan majikan untuk memudahkan pemindahan pekerja yang terjejas ke dalam kediaman alternatif yang lebih mampan di Singapura.

Kementerian menyatakan perintah tersebut telah memberi kesan kepada kedua-dua pemegang Pas Kerja dan warga Singapura sendiri serta penduduk tetap yang berulang-alik dari Malaysia.

-- BERNAMA