Tutup

Berita  | Dunia

PM Australia sarankan skala pencarian MH370 diperkecilkan

PM Australia sarankan skala pencarian MH370 diperkecilkan
Abbott memberi jaminan usaha pencarian akan diteruskan namun intensiti misi tersebut mungkin dikurangkan.
CANBERRA: Perdana Menteri Australia Tony Abbott pada Khamis menzahirkan harapan agar pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang akan dijumpai, namun menyarankan skala pencarian diperkecilkan.

Pesawat berkenaan hilang dari radar sewaktu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 dengan membawa 239 penumpang serta anak kapal.

Setakat ini tiada sebarang jejak ditemui walaupun usaha pencarian besar-besaran di permukaan dan di dasar laut telah dijalankan.

"Saya ingin meyakinkan keluarga mangsa nahas ini bahawa harapan dalam pencarian yang diteruskan ini bakal membuahkan hasil.
“Saya tidak berjanji operasi ini akan terus dilakukan dengan intensiti sebegini selama-lamanya tetapi kami akan meneruskan usaha terbaik untuk merungkai misteri ini sekali gus memberikan jawapan," ujar Abbott dalam Parlimen di Canberra.

Australia mengetuai misi pencarian di Lautan Hindi di kawasan sejauh 1,600 kilometer di luar perairan barat negara itu. Empat buah kapal dengan sistem sonar canggih digunakan dalam pencarian dasar laut tersebut.
Kapal-kapal tersebut memberi tumpuan di zon utama seluas 60,000 kilometer persegi. Pencarian tersebut dijadualkan berakhir pada bulan Mei. Pencarian intensif bernilai AS$93 juta (RM340 juta) itu dibiayai Australia dan Malaysia.

Agensi yang menyelaras pencarian itu, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sebelum ini memberitahu bahawa keputusan meneruskan misi pencarian slepas fasa ini berakhir adalah bergantung kepada pendirian kerajaan Malaysia dan Australia.

Australia, bersama Malaysia dan Indonesia, merancang untuk menguji sistem pertama di dunia yang meningkatkan pengesanan pesawat di kawasan lautan terpencil dengan kadar kekerapan isyarat setiap 15 minit berbanding sistem yang ada sekarang ini iaitu setiap 30 hingga 40 minit.