Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berkata kerajaan akan meneruskan usaha membangunkan semula binaan rumah di kawasan yang terjejas akibat bencana tsunami sejak tahun 2011.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Abe berkata setakat ini, pembinaan semula rumah di wilayah timur laut yang terjejas akibat bencana itu telah siap 90 peratus dan untuk berterusan akan dilakukan pihaknya.

"Sehingga hari ini, lebih daripada 70,000 orang masih berada dalam status pemindahan dan sebahagian daripada mereka sudah tidak selesa untuk hidup merempat dalam jangka masa lama.

"Para penduduk yang terjejas masih buntu bila mereka akan kembali ke kampung halaman masing-masing," ujarnya.

Abe dan kerabat diraja memberikan penghormatan kepada sekitar 16,000 mangsa yang maut akibat bencana alam yang berlaku pada tujuh tahun lepas sewaktu majlis peringatan di Tokyo pada hari Ahad.

"Kesedihan itu masih terasa sehingga kini dan ia sangat mendalam apabila saya memikirkan kesedihan yang dialami para keluarga serta rakan-rakan mangsa yang telah kehilangan orang tersayang akibat bencana alam tersebut," katanya dalam ucapan pada majlis itu.

Sewaktu majlis tersebut, upacara berkabung turut dilakukan pada pukul 2.46 petang sebagai pengimbau kembali insiden gempa bumi 9.1 skala Richter tujuh tahun lalu.