Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dihujani kritik pada Khamis apabila menikmati percutian di sebuah pulau di Caribbean milik Aga Khan, selain terbang ke destinasi mewah itu dengan helikopter peribadi yang jelas melanggar peraturan etika rasmi.

Trudeau, 45, yang menyandang jawatan tertinggi negara itu pada November 2015 berjanji untuk menjalankan pentadbiran yang terbuka dan dipercayai.

Namun sejak kebelakangan ini, beliau dipersoal tentang percutiannya ke salah sebuah pulau persendirian di Bahamas sempena tahun baharu, dan jurucakapnya juga enggan mengulas mengenainya, lapor Reuters.

Percutian itu turut disertai ahli keluarganya selain beberapa ahli Parlimen partinya.

Pihak pembangkang Kanada tidak melepaskan peluang itu untuk menyuarakan bantahan, dengan mengatakan bahawa percutian itu sangat tidak wajar.

Menurut mereka, selain Ottawa turut menyalurkan dana kepada Yayasan Aga Khan, tindakan Trudeau itu tidak selari dengan situasi rakyat Kanada yang berdepan cabaran ekonomi.

“Perjalanan pergi dan pulang dari Nassau (ibu kota Bahamas) ke pulau itu dengan menaiki helikopter persendirian milik Aga Khan adalah atas pelawaannya. Kami tidak melihat sebarang isu di situ,” ujar Trudeau dalam siaran televisyen sewaktu lawatan bertemu pengundinya.

Aga Khan, yang merupakan seorang pemimpin keluarga hartawan dari cabang Syiah Ismaili, merupakan kenalan karib Trudeau.

Di bawah peraturan etika yang Trudeau perkenalkan pada 2015, menteri kerajaan tidak boleh menaiki penerbangan persendirian tanpa mendapat kelulusan daripada pesuruhjaya konflik berkepentingan dan etika Kanada, Mary Dawson.

Apabila ditanya mengapa beliau menaiki helikopter tanpa merujuk kepada Dawson, Trudeau berkata beliau sedia menjawab sebarang soalan yang bakal ditanyakan kepadanya. Dawson sudahpun membuka inkuiri awal berikutan aduan pihak pembangkang tentang isu percutian itu.

Trudeau, yang berdepan siasatan berbeza daripada Dawson berkenaan penyaluran dana ke PArti Liberalnya, pada minggu lalu membaytalkan kunjungan ke Forum Ekonomi Dunia di Davos dan mengumumkan jelajah dalam negara.