Perdana Menteri Nepal Khadga Prasad Oli mengumumkan perletakan jawatan beberapa minit sebelum usul undi tidak percaya dibentangkan di Parlimen.

Pesaing politiknya, bekas pemberontak Maoist mendesak undian tidak percaya dilakukan terhadap Oli selepas beliau dituduh gagal memenuhi janjinya dan telah menyebabkan pergolakan berdarah berikutan perlembagaan baharu yang memecah-belahkan keadaan.

“Saya telah membuat keputusan untuk membuka jalan, memilih perdana menteri yang baharu dalam Parlimen ini dan akan kemukakan hasrat perletakan jawatan saya kepada presiden,” kata Oli kepada anggota Parlimen yang akan melakukan undian dalam usul undi tidak percaya.

Dalam ucapannya, Oli berkata beliau berdepan pelbagai pertuduhan oleh pesaing yang melemahkan kerajaan yang dipimpinnya ketika beliau sedang berusaha membina semula negara Himalaya itu selepas dilanda gempa bumi teruk tahun lepas.

“Saya bimbang tindakan yang dilakukan oleh mereka yang didorong oleh sifat mementingkan diri sendiri dan dendam yang akan menyebabkan impak negatif pada jangka masa panjang dan mengakibatkan negara ini tidak stabil,” katanya dalam ucapan yang sama.

Peletakan jawatan Oli menjadikannya krisis terbaharu melanda Nepal yang kini dalam pergelutan untuk membina semula negara itu selepas tragedi gempa pada April tahun lepas yang meragut lebih 9,000 nyawa.