Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan suami, Clarke Gayford mendedahkan nama puteri sulung mereka sebagai Neve atau nama penuhnya, Neve Te Aroha Ardern Gayford.

Menurut Ardern, Neve bermaksud ‘bercahaya’ dan ‘berseri’ serta ‘salju’ susulan kelahiran anak sulungnya pada waktu solstis musim sejuk.

Manakala Te Aroha bermaksud ‘kasih sayang’ dan ia mencerminkan kasih sayang dan sifat baik hati yang telah ditunjukkan oleh orang ramai saat Ardern menimang cahaya matanya itu.

Bukan itu sahaja, menurut Ardern dalam satu sidang media pertama selepas melahirkan Neve, beliau akan memastikan puterinya itu membuat pilihan sendiri terhadap bidang kerjaya yang ingin diceburi satu hari nanti.

Terdahulu, Ardern selamat melahirkan anak pertamanya di Auckland pada petang Khamis.

BACA: PM New Zealand selamat bersalin anak pertama

Bayi perempuan seberat 3.31 kilogram itu dilahirkan pukul 4.45 petang waktu tempatan di Hospital Bandaraya Auckland, menjadikan Ardern sebagai perdana menteri New Zeland pertama bersalin ketika menyandang jawatan dan segelintir dalam kalangan beberapa pemimpin di seluruh dunia.

Ardern akan mengambil cuti bersalin selama enam minggu. Semasa ketiadaannya, Timbalan Perdana Menteri, Winston Peters memangku tugas sebagai Perdana Menteri.