Kemelut politik Sri Lanka dilihat semakin meruncing apabila Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa bertindak keluar parti pimpinan Presiden Maithripala Sirisena, semalam.

Perkembangan mengejut itu terjadi dua minggu selepas Sirisena melantik Rajapaksa sebagai Perdana Menteri susulan pemecatan mendadak Ranil Wickremesinghe.

Rajapaksa, 72, bersama 44 ahli lain meninggalkan Parti Kebebasan Sri Lanka (SLFP) untuk menyertai Parti Rakyat Sri Lanka (SLPP) yang dibentuk tahun lalu oleh penyokong beliau sebagai platform untuk kembali beraksi dalam arena politik negara itu.

Sementara itu, sumber SLPP mendakwa, 65 daripada 82 bekas ahli parlimen SLFP akan menyertai parti baharu itu.

BACA: Penduduk Sri Lanka tuntut presiden adakan sidang Parlimen

Terdahulu, tindakan Sirisena membubarkan parlimen pada malam Jumaat lalu dan menetapkan pilihan raya pada 5 Januari depan akan dicabar parti tunggal terbesar di Sri Lanka.

Mangala Samaraweera dari Parti Bersatu Kebangsaan (UNP) berkata, parti itu bersama sekutunya yang mempunyai majoriti mutlak dalam parlimen yang terdiri dari 225 ahli, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan presiden berkenaan membubarkan parlimen.

Langkah Sirisena mengambil alih jabatan polis dan meletakkannya di bawah Kementerian Pertahanan serta menguasai pencetak negara, juga dianggap semakin memburukkan krisis politik Sri Lanka. - Agensi