Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha akhirnya mengaku bahawa beliau berminat dalam politik, sekaligus menamatkan spekulasi oleh media selama beberapa bulan mengenai cita-cita politiknya ketika negara itu bersiap sedia bagi pilihan raya umum tahun depan.

Beliau menyatakan bahawa semangat cintanya kepada negara adalah sebab beliau membuat keputusan untuk memasuki gelanggang politik.

"Ramai orang mahu saya memberi jawapan mengenai (masa depan saya) dalam politik, Saya boleh menjawab sekarang bahawa saya berminat dalam politik," kata beliau kepada media di Bangunan Kerajaan di sini, pada Isnin, dan menambah beliau akan memaklumkan kepada orang ramai tentang keputusan lain kemudian termasuk siapa yang akan disokongnya.

Prayut, yang juga menerujui Majlis Keamanan dan Ketenteraman Kebangsaan (NCPO), berkata beliau akan mendengar pandangan dari parti politik, kumpulan politik dan ahli politik.

Beliau dijangka mengumumkan parti yang akan disertainya memandangkan banyak pihak di Thailand meramalkan bahawa beliau akan kekal sebagai perdana menteri selepas pilihan raya tahun depan.

Empat tahun lalu, Prayut yang ketika itu menjadi panglima angkatan tentera mengetuai tentera dalam rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan awam pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, adik kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Yingluck dan Thaksin kini hidup dalam buangan.

Baru-baru ini, kerajaan menghapuskan halangan terakhir bagi mengadakan pilihan raya umum dengan meluluskan dua undang-undang berhubung pemilihan anggota parlimen dan Senator.

Kerajaan juga telah mengambil langkah dengan melonggarkan sekatan ke atas aktiviti politik tetapi tidak menarik balik sekatan itu sepenuhnya.

Pilihan raya umum yang pertama di Thailand selepas empat tahun berada di bawah junta tentera, mungkin diadakan seawal-awalnya pada Feb 2019, menurut pakar dan penganalisis politik. -- Bernama