Sebuah pokok Krismas yang diperbuat daripada dahan-dahan hangus seumpama arang telah ditempatkan di tengah-tengah kawasan komersial perniagaan di Sydney, sebagai peringatan penting tentang tragedi kebakaran besar di negara itu.

Reuters melaporkan, pokok Krismas itu turut 'dihiasi' dengan barangan lain yang turut dijilat api dalam bencana berkenaan, seperti basikal, penggera kebakaran dan banyak lagi barangan rumah yang ketara kesan kebakarannya.

Pokok itu dikelilingi kotak-kotak hadiah yang dibalut dengan kertas pembalut berwarna merah, perak dan emas.

Tragedi kebakaran itu telah mengorbankan enam orang di New South Wales, selain memusnahkan lebih daripada 700 buah rumah serta menjejaskan tanah berkeluasan 3 juta ekar.

BACA: Sydney diselubungi asap tebal

BACA: Australia isytihar darurat

BACA: Lebih 1,000 mati, habitat musnah... beruang koala di ambang kepupusan

Pihak berkuasa pada Rabu berkata, masih banyak kawasan yang belum sepenuhnya bebas dari api.

Seniman James Dive berkata pokok Krismas itu adalah simbol bayangan kesedihan yang menyelubungi musim perayaan kali ini, selain lambang komuniti Australia yang cuba bertahan.

"Pergi ke luar sana (kawasan kebakaran) adalah proses yang paling meninggalkan impak. Saya pulang dengan dua impresi. Pertama adalah skala bencana itu. Ia betul-betul memberi kesan. Kesunyian yang dirasai. Tiada burung. Semua pergi.

"Namun, dari sisi lain adalah mengenai daya tahan. Maksud saya, apabila melihat belukar Australia kini kembali, seperti benih-benih yang kembali hidup," ujarnya.

Pokok Krismas itu direka dengan kerjasama Palang Merah dan bandar raya Sydney.