Polis Persekutuan Australia (AFP) pada Selasa memberitahu bahawa mereka bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa dalam siasatan ke atas syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

1MDB menjadi perhatian dalam siasatan kes penggubahan wang di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

Saman sivil yang difailkan Jabatan Keadilan AS mendakwa sejumlah lebih daripada AS$3.5 bilion telah disalah urus daripada 1MDB, dan antara lain saman itu mahu menyita aset bernilai AS$1 bilion daripada syarikat tersebut yang telah ditukar menjadi hartanah mewah di New York, Beverly Hills dan London, lukisan mewah dan jet peribadi.

AFP bertanggungjawab dalam siasatan kes pelanggaran undang-undang jenayah membabitkan syarikat-syarikat, warganegara dan pemastautin di Australia.

“AFP menyedari pertuduhan berkaitan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB dan kami membantu penguatkuasa undang-undang antarabangsa dalam siasatan mengenainya.

“Sementara AFP meneruskan siasatan, adalah tidak sesuai bagi kami memberikan maklumat lanjut,” ujar AFP.

Sementara itu, AFP tidak menjawab soalan daripada Reuters tentang laporan-laporan yang sedang mereka siasat, sama ada terdapat sebarang kepentingan kewangan di Australia mahupun menamakan agensi antarabangsa yang terlibat.