Pasukan polis bersenjata di lapangan terbang India diarahkan supaya mengurangkan senyuman dalam usaha mengurangkan sikap mesra berlebihan, lapor media tempatan semalam.

Indian Express melaporkan, Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat (CISF), yang bertanggungjawab terhadap keselamatan penerbangan, akan beralih daripada ‘sistem senyuman lebar’ kepada ‘sistem senyuman seadanya’.

Akhbar bahasa Inggeris itu berkata, langkah itu bertujuan untuk menjadikan CISF ‘lebih berwaspada berbanding mesra.’

“Kita tidak boleh terlebih mesra dengan penumpang kerana satu daripada alasan dipetik mengapa 9/11 berlaku, adalah kebergantungan untuk memaparkan kemesraan terhadap penumpang,” kata Ketua Pengarah CISF, Rajesh Ranjan dipetik sebagai berkata.

Ranjan juga berkata, kakitangan CISF akan dilatih dalam analisis tingkah laku oleh perunding antarabangsa.

India menyaksikan peningkatan enam kali ganda jumlah penumpang sejak sedekad lalu ketika rakyatnya mengambil peluang tambang murah dalam sektor persaingan tinggi itu, namun lapangan terbang bergelut menangani peningkatan itu dan analisis memberi amaran, kerajaan perlu membelanjakan berbilion dolar untuk meningkatkan kapasiti dan keselamatan.