Polis anti-narkotik Filipina menembak mati seorang Datuk Bandar dan sembilan juru iring keselamatannya dalam satu kejadian tembak menembak awal pagi hari ini.

Datuk Bandar Samsudin Dimaukom merupakan salah seorang ahli politik yang dinamakan Presiden Rodrigo Duterte terbabit dalam kegiatan operasi dadah secara haram.

Jurucakap polis berkata, pertempuran berlaku di sepanjang lebuh raya di bandar Makilala, Selatan Wilayah Cotabato Utara, yang merupakan pusat pemeriksaan pasukan petugas anti-dadah.

Datuk Bandar itu dan pengiringnya dilapor menaiki tiga kenderaan ketika mereka melepasi pusat pemeriksaan berkenaan.

Berdasarkan maklumat pihak berkuasa, Samsudin dan kumpulan yang membawa dadah telah melepaskan tembakan ke arah penguatkuasa, menyebabkan serang balas berlaku.

Ogos lalu, Duterte mengumumkan nama-nama lebih 150 kakitangan kerajaan yang terbabit dalam operasi pengedaran dadah.

Menerusi kempen anti-dadah yang dilancarkan Duterte, lebih 1,700 suspek terbunuh antara 1 Julai dan 24 Oktober lalu.