Polis Indonesia telah menemui ratusan buku dengan kandungan propaganda Daish yang disasarkan buat bacaan kanak-kanak di rumah suspek, yang terlibat dalam kes menikam seorang anggota polis sehingga mati, ujar seorang jurucakap polis pada Isnin.

Seorang lagi yang disyaki anggota militan telah ditembak mati oleh polis sewaktu insiden serangan pada Ahad di sebuah balai polis di Medan, ibu negeri wilayah Sumatera Utara.

Isteri kepada suspek yang ditahan itu kemudiannya memberitahu polis bahawa suaminya pernah berada di Syria selama enam bulan pada tahun 2013, kata jurucakap polis Rina Sari Ginting, sambil menambah kes itu masih dalam siasatan.

Pihak polis percaya semua suspek itu adalah anggota Jemaah Ansharut Daulah (JAD), iaitu pertubuhan yang disenaraikan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) sebagai organisasi pengganas yang menyokong Daish.

JAD juga dipercayai mempunyai ratusan pengikut di Indonesia.

"Kita dapat lihat daripada corak serangan mereka. Ia jelas menunjukkan ciri rangkaian JAD," ujar Rina.

Terdapat kebimbangan tentang peningkatan pergerakan militan di Indonesia, iaitu negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia.

Mereka yang menyokong Daish telah melakukan banyak serangan berskala rendah sejak beberapa tahun ini, dan pihak berkuasa amat berwaspada dengan kepulangan ratusan rakyat Indonesia yang telah ke Syria untuk membantu Daish.

Bahan bacaan untuk kanak-kanak dengan propaganda Daish yang ditemui di rumah suspek adalah dalam bahasa Indonesia. Ia disertakan gambar-gambar dan mesej yang menyimpang tentang konsep ‘jihad’.

Kandungan buku berkenaan seperti direka dan dicetak oleh suspek sendiri.

Polis percaya suspek bukan sahaja berniat untuk membunuh anggota polis dalam serangan pada Ahad, malah mahu merampas senjata api.

Daripada 12 orang yang disoal siasat berkaitan serangan itu, seorang sudah disahkan sebagai suspek dan didakwa membantu penyerang dengan memantau aktiviti di ibu pejabat polis.

Polis juga sedang menyiasat sama ada penyerang itu ada kaitan dengan militan yang ditahan pada 6 Jun lalu oleh polis antikeganasan.