Polis Korea Selatan pada Jumaat telah menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, yang didakwa hilang, di lereng sebuah bukit di barat bandar pesisir Gunsan selepas ayahnya mengaku telah membuangnya di kawasan itu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan polis.

Menurut Agensi Polis Wilayah Jeonbuk, mayat Koh Jun-hee yang dibungkus dengan tuala ditemui pada 4.45 pagi di bawah sebatang pokok di lereng bukit itu, yang mengambil masa kira-kira 50 minit jika memandu dari tempat dia tinggal.

Mangsa telah dilaporkan hilang lebih tiga minggu lepas.

Siasatan kes itu menyaksikan bapanya, 36, yang diberkas di bawah tahanan darurat, mengaku pada Khamis telah membuang mayat mangsa di sebuah bukit di bandar itu yang terletak kira-kira 270 kilometer di selatan Seoul pada April.

Berdasarkan kenyataan bapanya, polis membuat anggapan bahawa Koh meninggal dunia akibat tercekik ketika makan.

Bapanya mendakwa dia telah menyembunyikan kematian Koh kerana takut perkara itu akan mendatangkan masalah terhadap penyelesaian penceraiannya dengan ibu mangsa.

Polis bercadang untuk memeriksa mayat Koh bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

Polis membuka kertas siasatan dalam kes itu selepas ibu tiri Koh membuat laporan pada 8 Dis bahawa mangsa telah hilang.

Mereka telah menggerakkan kira-kira 3,000 anggota, anjing pengesan dan helikopter untuk mencari mangsa sejak beberapa minggu lepas.

-- BERNAMA